Pengenalan

 
Perpustakaan Negeri Sabah Zon Sandakan (PNSZS) adalah salah sebuah Perpustakaan Zon di bawah pentadbiran Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah. Perkhidmatan perpustakaan di bawah PNSZS dibahagikan kepada seksyen-seksyen seperti berikut :
  • Seksyen Pentadbiran Dan Kewangan
  • Seksyen Rujukan Dan Maklumat
  • Seksyen Perkhidmatan Pembaca
  • Seksyen Perkhidmatan Luar Bandar 
Selain seksyen-seksyen di atas, terdapat juga beberapa Unit lain yang turut menyediakan perkhidmatan kepada para pengunjung dan pembaca iaitu :
  • Unit Hipermedia
  • Unit Desa Net
  • Unit Majalah
  • Unit Aktiviti
 
 
SEJARAH
1954 :
Ditubuhkan sebagai salah satu seksyen Jabatan Penyiaran dan Penerangan. Diletakkan di sebuah bilik kecil di Bangunan Kerajaan. Ia dibuka (3) tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat jam 2.00 hingga 5.00 petang. Hanya mempunyai beberapa ratus naskah buku-buku dalam Bahasa Inggeris, beberapa jodol majalah dan suratkhabar sahaja. Seramai 396 orang telah mendaftar sebagai ahli. Ia dikendalikan oleh seorang kakitangan sambilan.

1960 :
Perpustakaan telah dibuka sepenuh masa dan dikendalikan oleh seorang kakitangan sepenuh masa. Ia kemudian dipindahkan ke satu bilik yang lebih luas dalam bangunan yang sama dan seorang Attenden telah ditambah.

1967 :
Perpustakaan telah berpindah ke satu tempat yang lebih luas dan selesa di tingkat 1, Lembaga Perbandaran Sandakan. Buat pertama kali, Perpustakaan Cawangan Sandakan dibekalkan meja dan kerusi untuk kegunaan pembaca-pembaca manakala kakitangan mempunyai satu pejabat / Bilik Kakitangan dan kaunter perpustakaan yang sesuai untuk bekerja.

1971 :
Perpustakaan telah dipindahkan ke Tingkat 4, Lembaga Perbandaran Sandakan yang mempunyai ruangan yang lebih luas iaitu seluas 2,880 kaki persegi.

1975 :
Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak dimulakan.

1981 :
Perpustakaan Kanak-Kanak diasingkan daripada Perpustakaan Dewasa dan ditempatkan di tingkat 1, Bangunan Yen Ho Hong dekat Bandar Ramai-Ramai. Keluasan bagi tempat itu ialah 3,900 kaki persegi.

1982 :
Perpustakaan Kanak-Kanak dan Perpustakaan Dewasa telah digabungkan semula pada bulan Julai dan dipindahkan ke tingkat 1, di bekas bangunan Majlis Daerah Luar Bandar yang mempunyai keluaasan 5,498 kaki persegi. Pemindahan perpustakaan kali ini, telah membawa satu perubahan yang baik di mana jumlah bilangan keahlian telah bertambah dengan banyak manakala statistik bagi jumlah pinjaman buku pula menunjukkan pertambahan lebih dari dua kali ganda. Walau bagaimanapun pejabat Perpustakaan Bergerak masih terletak di Bangunan Majlis Perbandaran di tingkat 4, dengan ruangan seluas 1,260 kaki persegi. Sebuah lagi van baru telah dibeli untuk Perpustakaan Bergerak Sandakan.

1992 :
Sehingga akhir 1992, seramai 9,610 orang teleh mandaftar menjadi ahli dan pinjaman buku telah meningkat kepada 27,402 naskah.

1993 :
Bangunan baru Perpustakaan Negeri Sabah Wilayah Sandakan telah dibuka kepada orang awam pada 26hb April 1993 dan ianya telah dirasmikan pada bulan Disember 1993 oleh Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Bangunan ini berharga RM7.9 juta dengan keluasan ruang lantai 47,00 kaki persegi. Koleksi buku pada hari pembukaan ialah 82,678 naskah buku. Bangunan ini mempunyai Bilik Serbaguna, Bilik Sesi Bercerita, Kantin dan Kemudahan untuk golongan istimewa seperti tanjakan. Ia juga dilengkapi dengan alat penggera (3M Syestem) untuk mengelakkan kecurian buku-buku perpustakaan. Perpustakaan Wilayah Sandakan menyediakan Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat, Sirkulasi, Perpustakaan Bergerak dan perkhidmatan baru iaitu Perkhidmatan Pandang Dengar. Ianya dikendalikan oleh 44 orang kakitangan yang diketuai oleh Puan Susan Tsen.

1995 :
Pada bulan April 1995 Seksyen Sirkulasi telah memulakan perkhidmatan secara berkomputer. Puan Cecilia Chai telah dilantik sebagai Ketua Perpustakaan Wilayah Sandakan pada Mei 1995 menggantikan Puan Susan Tsen yang telah bersara.

1996 :
Masa pembukaan Perpustakaan Wilayah Sandakan telah dipanjangkan sehingga jam 9.00 malam pada setiap hari Jumaat bermula pada 26hb. April 1996 atas permintaan ramai. Sambutan amat menggalakkan.

1997 :
Perkhidmatan Untuk Golongan Cacat Penglihatan (VIP) telah dilancarkan pada 8hb. September 1997 sempena Majlis Pelancaran Minggu Perpustakaan 1997 di Sandakan. Satu lagi perkhidmatan baru iaitu Perkhidmatan Maklumat Perniagaan atau Bussiness Information Services (BIS) telah diwujudkan pada Disember 1997.

1998 :
Pameran Gambar-Gambar Bersejarah Bandar Sandakan dirasmikan oleh YB Datuk Raymond Tan Shu Kiah pada bulan September. Pada Disember 1998 Perkhidmatan Internet telah dimulakan di bawah Seksyen Rujukan Umum.

1999 :
Pada Februari 1999 Multi Media Kid (MMK) telah diwujudkan khusus untuk pengguna kanak-kanak. Ia diletakkan di bawah Seksyen Sumber Media.